|
Dunia Penerbitan Dan KDN
Apabila saya mula terbabit aktif dengan dunia penerbitan, khususnya sebagai
penerbit, saya seboleh mungkin tidak mahu bertembung dengan pihak paling berkuasa
dalam dunia ini, yakni Kementerian Dalam Negeri (KDN). Sebabnya, di tangan mereka,
permit penerbitan boleh diberikan, dan ia boleh ditarik balik secara mengejut tanpa
perlu memberikan sebarang sebab.
Kuasa yang besar pada Menteri Dalam Negeri
membuatkan setiap penerbit sedaya mungkin cuba mengelak dari menimbulkan
pertentangan dengannya. Kalau boleh apa saja arahan dan peraturan akan dituruti
tanpa dolak-dalik lagi. Semuanya akan menjadi pak turut dan pak angguk. Jika cuba
melawan atau mempersoalkan, bersedialah menanggung risiko buruk.
Ketika saya
hanya menulis dan menerbitkan buku-buku politik atau makalah tidak berkala, saya
mungkin tidak perlu memeningkan kepala memikirkan "hantu KDN" ini. Setakat
ini buku-buku politik tidak memerlukan permit penerbitan (PP). Penulis perlu lebih
sentisif terhadap kandungannya supaya tidak mudah disaman malu pihak tertentu,
bukannya KDN.
Justeru, menulis buku agak lebih bebas dan terbuka. Namun,
tidak banyak pencetak yang bersedia mencetak buku kita jika persembahannya nampak
memihak kepada pembangkang ataupun mengkritik hebat pemerintah. Agak kerap juga saya
terpaksa beralih dari satu syarikat percetakan kepada syarikat yang lain. Ada
kalanya, belum sempat buku saya habis dicetak, pencetak tidak sanggup meneruskan
kerjanya kerana bimbang KDN akan menarik balik atau membatalkan lesen percetakan
Dengan
itu, selepas saya membaca temu bual Tamadun Mei 2000 dengan Ketua Penolong
Setiausaha, Unit Kawalan Penerbitan, KDN, Tengku Mahmood Tengku Ismail, saya cuba
memendam rasa khususnya selepas menatap bait-bait ayat mengenai Detik yang sudah pun
diharamkan itu.
Pengharaman Detik bagai kisah duka seorang ibu yang kematian
anak tunggal yang baru berumur setahun. Segala kasih sayang tertumpah buatnya.
Begitulah keprihatinan kami terhadap Detik. Menghadapi saat-saat kematiannya yang
tragis membuatkan kami terkedu, menahan ratapan dan menyembunyikan tangisan. Namun
api kemarahan sukar dibendung.
Bagi Tengku Mahmood, KDN tidak pernah
menyenarai-hitamkan mana-mana penerbit atau pengarang. Saya secara peribadi
menyambut baik jaminan itu dan mahu ia dibuktikan. Pengalaman saya sepuluh tahun
dulu mungkin sudah dilupai Tengku Mahmood. Dua kali permohonan saya mendapatkan
permit majalah bulanan isu-isu semasa ditolak mentah-mentah. Saya langsung tidak
ditemuduga seperti kebiasaannya.
Memang benar pihak KDN mengambil masa
singkat untuk menolak permohonan saya itu. Kes terbaru membabitkan permohonan oleh
syarikat yang menerbitkan makalah politik, suntingan Suria Janib. Berkali-kali
mereka memberikan nama baru disebabkan nama asal sudah pun dipohon oleh penerbit
lain. Namun akhirnya jawapan tetap sama, ditolak tanpa sebarang alasan. Tentunya
pihak penerbit berkeinginan untuk mengetahui sebab-musabab permohonan mereka ditolak
sebegitu rupa.
Saya rasa Tengku Mahmood tidak mempunyai maklumat lengkap
terhadap penyelenggaraan pihak KDN terhadap majalah Detik. Sepanjang saya menjadi
Ketua Editornya (yang kemudiannya dimaklumkan bahawa perlantikan saya itu adalah
satu kesalahan besar pada kaca mata KDN), sekalipun kami tidak pernah dipanggil oleh
KDN, sama ada untuk diberikan amaran ataupun mengadakan perbincangan. Saya ulangi,
tidak pernah sekalipun kami dijemput ke pejabat KDN!
Sedangkan semasa saya
menjadi Editor Tamadun dulu, sekurang-kurangnya dua kali KDN memanggil saya ke
pejabatnya, dan kami diberikan amaran lisan, yang kemudiannya disusuli amaran
bertulis. KDN membutirkan dengan jelas isu-isu yang tidak boleh kami sentuh ketika
itu. Tetapi sepanjang setahun saya dan pemilik Detik menjalankan majalah ini, pihak
KDN langsung tidak pernah menjemput kami bagi membincangkan sebarang masalah
berbangkit ekoran penerbitan Detik.
Ada pun surat amaran yang kami terima
berkaitan kandungan majalah Detik yang dikatakan terlalu banyak menyiarkan politik
pembangkang, kami segera menjawab dan memberikan penjelasan. Kami memohon diberi
sedikit masa untuk mengada ubah-suai. Berbetulan pula, ketika itu menjelang pilihan
raya umum ke -10, tentunya ia tidak dapat dirombak dalam kadar segera khususnya bagi
menjaga kehendak pasaran. Sesungguhnya kami hanya sempat menerbitkan Detik edisi
pilihan raya selepas mendapat amaran berkenaan. Tapi yang menjadi kemusykilan besar
kami ialah sekiranya kandungan Detik menjadi masalah besar buat KDN, mengapa pula
permitnya telah pun diperbaharui pada 9 Disember 1999. Atas alasan apa permit
tersebut dikeluarkan selepas ia tamat pada 30 November 1999.
Tidak lain tidak
bukan ia menjadi bukti nyata pembabitan elit politik Umno yang mendesak agar permit
yang sepatutnya tamat pada 30 November 2000 itu ditarik balik. Tengku Mahmood jangan
lupa bahawa beliau sendiri memaklumkan secara lisan kepada saya bahawa arahan itu
datangnya daripada Menteri Dalam Negeri, Abdullah Ahmad Badawi.
Mengenai isu
Ali-Baba, ia sebenarnya telah pun dijelaskan secara bertulis oleh pemilik Detik
kepada KDN. Malangnya penjelasan itu langsung tidak diendahkan KDN. Awal-awal lagi
mereka sudah pun menjatuhkan hukum, kemudian baru dibicarakan.
Cuma saya
ingin bertanya Tengku Mahmood, siapa sebenarnya pemilik permit akhbar tabloid
Al-Haq, yang menjadi lidah rasmi Umno Terengganu, yang dirasmikan sendiri Menteri
Dalam Negeri. Bagaimana pula status sebuah majalah bulanan terbitan Pusat Islam yang
diurusterbitkan pihak lain. Saya mempunyai banyak lagi maklumat tentang hal ini.
Ahmad Lutfi Othman
"DETIK SUDAH MATI! HALANG PENCABULAN KDN
TERHADAP KEBEBASAN MEDIA"
|